PENGGUNAAN telefon bimbit di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di
Asia Pasifik serta melebihi negara maju seperti Amerika Syarikat dan
Eropah, menurut laporan terbaru firma kajian pengguna Nielsen.
Laporan Memahami Pengguna Telefon Bimbit Asia itu menunjukkan trend
terkini dalam pemilikan telefon pintar serta sikap pengguna di sembilan
negara Asia Pasifik termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina,
Australia, Hong Kong, China, India dan Singapura.
Malaysia mencatatkan kadar penembusan telefon pintar 80 peratus selepas
Hong Kong dan Singapura (87 peratus), diikuti Australia (75 peratus)
dan China (71 peratus).
Laporan itu juga menunjukkan penggunaan telefon bimbit di Asia Pasifik
terus mencatatkan pertumbuhan berganda sejak beberapa tahun kebelakangan
ini.
Penggunaan telefon pintar di pasaran membangun juga mula meningkat.
Thailand mencatatkan kadar penembusan 49 peratus diikuti Indonesia (23
peratus), India (18 peratus) dan Filipina (15 peratus).
Rakyat Malaysia paling ramai memiliki lebih daripada satu telefon bimbit
Jumlah pengguna yang memiliki beberapa telefon bimbit juga semakin
meningkat di rantau Asia Pasifik, terutama di Malaysia, di mana hampir
separuh atau 47 peratus pengguna memiliki lebih daripada satu telefon
bimbit, diikuti Hong Kong (31 peratus) serta Singapura dan China (29
peratus).
Selain telefon pintar, penggunaan tablet juga dilihat semakin meningkat
di pasaran rantau ini berbanding tahun lalu, dengan Singapura
mencatatkan peningkatan hampir 30 peratus kepada 47 peratus, Hong Kong
(57 peratus) dan Malaysia (42 peratus).
"Pertumbuhan dalam pemilikan peranti yang boleh disambung kepada
internet di Asia Pasifik begitu besar sejak beberapa tahun ini.
"Walaupun graf pertumbuhan ini dijangka akan mula mendatar, penggunaan
peranti ini akan terus berkembang dan memberikan peluang yang sangat
besar kepada organisasi untuk berhubung dengan pengguna melalui platform
ini," menurut Pengarah Amalan Telekomunikasi dan Teknologi Asia
Tenggara Nielsen, Sagar Phadke.
Menurutnya, menjadi semakin penting bagi syarikat untuk membangunkan
strategi mudah alih yang canggih bagi mengambil peluang daripada trend
terbaru ini.
Samsung jenama telefon pintar paling popular di negara ini
Laporan itu turut menunjukkan jenama menjadi faktor utama yang
mempengaruhi pemilihan telefon pintar bagi pengguna di Asia Pasifik, dan
Samsung adalah jenama paling digemari di Malaysia.
Selain itu, pengguna di Asia Tenggara turut meluangkan purata tiga jam
setiap hari menggunakan telefon pintar mereka, termasuk untuk aplikasi
sembang, media sosial dan hiburan seperti permainan dan multimedia,
iaitu tempoh penggunaan paling tinggi di dunia.
"Walaupun kadar penembusan telefon pintar belum mencecah 100 peratus,
penggunaan aplikasi semakin meningkat. Satu daripada lima pengguna
telefon bimbit di dunia, yang kini berjumlah 1.2 bilion orang,
menggunakan aplikasi dalam telefon mereka.
"Di Asia Pasifik, permainan, aplikasi multimedia dan media sosial adalah paling banyak digunakan," kata Phadke.
Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Australia juga memperlihatkan
penggunaan perdagangan mudah alih yang semakin tinggi, dengan kadar
antara 25 peratus dan 31 peratus, di mana pengguna menggunakan telefon
pintar mereka untuk membeli barangan atau membuat pembayaran.
"Memahami sikap pengguna telefon pintar adalah penting bagi kejayaan sesebuah syarikat pada hari ini," kata Phadke.
Sumber:sinarharian.com